Sekadar ingin berkongsi pendapat mengenai perbandingan menggunakan kad perubatan dan kad kredit ketika perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta yang rata-rata kita semua ketahui kos rawatannya yang tinggi. Jom kongsi pendapat sama ada anda setuju atau tidak dan mengapa? Mana satukah pilihan anda?
Masyarakat masa kini sudah bijak dalam membuat perancangan kewangan demi menjamin masa depan di mana kita semua masih tidak tahu bagaimana kesudahannya. Namun masih ada segelintir golongan yang masih ragu dan berkira-kira memperuntukkan sejumlah wang untuk dikeluarkan bagi membeli insurans perubatan, demi melindungi diri dikala ditimpa musibah seperti sakit kronik, kemalangan, hilang upaya kekal atau sementara.
Berkemungkinan golongan ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan insurans dan merasakan mereka masih mampu untuk menampung kos rawatan jika hanya perlu dimasukkan ke hospital selama dua, tiga hari atau seminggu akibat demam. Akan tetapi adakah anda terfikir jika secara tiba-tiba anda disahkan menghidap penyakit kritikal seperti kanser atau pembedahan akibat kemalangan.
Pada ketika itu mungkin sukar untuk anda menerima kenyataan, bersedih malah tidak menyangka anda akan berdepan dengan penyakit merbahaya seperti kanser. Namun apa yang lebih membingungkan, bagaimana dengan kos rawatan? Sudah semestinya kos rawatan kanser amat tinggi. Adakah pada waktu itu duit simpanan anda cukup untuk menampung jumlah kos rawatan sehingga kanser anda hidapi benar-benar pulih.
Apakah perlindungan kewangan sebenar yang mampu menjamin anda ketika situasi sedemikian berlaku? Adakah melalui wang simpanan, kad kredit atau kad perubatan? Sekiranya anda memilih untuk menggunakan wang simpanan. Ia boleh diibaratkan umpama gunung jika ditarah lambat-laun akan rata jua. Begitu juga dengan wang simpanan, lama-kelamaan akan habis jika hanya digunakan tanpa menggantikannya.
Malah jika anda menjadikan kad kredit sebagai sumber kedua itu juga akhirnya akan membebankan anda dengan hutang dikala anda sendiri tidak tahu bila masanya anda akan mampu melangsaikan segala hutang.
Ramai yang masih mengeluh kerana setiap bulan semua duit gaji habis untuk membayar komitmen. Kemampuan kewangan yang dikatakan cukup terbatas walaupun hanya perlu ketepikan 10% daripada pendapatan setiap bulan untuk membayar polisi insurans. Namun rata-rata individu masih tidak nampak akan kepentingan dan manfaat kad perubatan untuk jangka masa panjang dan di waktu yang tak diduga.
Anda hanya perlu membelanjakan kira-kira RM5 sehari untuk mendapat kad perubatan yang bakal menanggung kos perubatan jika anda dimasukkan ke hospital. Malah anda juga hanya perlu membuat bayaran paling minima untuk perlindungan maksima.
Seperti yang kita sedia maklum kos rawatan di hospital swasta sememangnya begitu tinggi jika dibandingkan hospital kerajaan. Caj bilik bagi sehari sahaja paling minima RM100 tidak termasuk caj perubatan, pemeriksaan doktor dan lain-lain. Jika demam panas sahaja bil rawatan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Inikan pula jika didiagnos menghidap penyakit kritikal. Berapa agaknya kos rawatan yang akan dicaj?
Walau bagaimanapun, kepada sesiapa yang berkeinginan, berminat dan merancang untuk membeli insurans kad perubatan, nyawa dan sebagainya, yang kini semakin meluas penjualannya oleh agen-agen insurans konvensional mahupun takaful. Anda perlulah lebih berhati-hati dengan menyelidik dan memahami setiap kandungan dan faedah yang ditawarkan oleh setiap polisi insurans yang terdapat di pasaran. Demi mengelakkan anda daripada ditipu dan akhirnya mengakibatkan kerugian.
Apapun segalanya terpulang pada diri anda untuk merancang sebaiknya dalam memberi perlindungan perubatan terbaik buat diri dan keluarga. Perancangan kewangan yang bijak akan memberikan manfaat kelak kepada diri anda sendiri. Kita tidak akan nampak masa kita dalam keadaan sihat namun apabila ditimpa musibah kelak kemudian kita akan menikmzti manfaatnya.
Kesimpulannya berbalik kepada kesedaran masing-masing dalam merencana dan membuat persiapan masa depan. Ini kerana semakin hari kehidupan semakin sukar kerana perlu menanggung pelbagai kos kehidupan seharian yang saban hari meningkat. Tepuk dada tanya selera. Pilihan sudah tersedia hanya tinggal anda memilih mana satu yang terbaik.
Credit: http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=807019&highlight=kad%2Bperubatan
No comments:
Post a Comment