Monday, June 25, 2012

wanita dan insurans

Oleh : Nor Affizar Ibrahim

affizar@bharian.com.my

Pelan perancangan bersesuaian bantu golongan hawa nikmati kehidupan bermutu pada masa depan.
KEBELAKANGAN ini semakin banyak syarikat institusi kewangan dan insurans yang begitu ghairah serta berlumba-lumba memperkenalkan skim pelan perlindungan insurans khusus untuk wanita. Ini termasuklah, pelan perlindungan penyakit berkaitan wanita, perlindungan penyakit berjangkit, perlindungan kepada wanita terhadap jenayah dan keganasan rumah tangga menyebabkan kecederaan peribadi dan sebagainya.
Persoalannya perlukah wanita mengambil atau memiliki pelan insurans yang disarankan khusus kepada wanita seumpama itu? Malah, ada yang mulai keliru dan tertanya-tanya sejauh manakah penting atau apakah faedah diperoleh serta jaminannya jika mengambil pelan insurans dikhususkan kepada wanita. Selain itu, ada juga yang melihat, pelan insurans seperti itu hanya ingin mengambil kesempatan dan ‘jerat’ bagi meraih keuntungan oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, Pengurus Perunding, Tekad Smart Planning Sdn Bhd, Azha Syazri Azizan, berpendapat kewujudan pelbagai pelan insurans khusus untuk wanita, secara tidak langsung melambangkan satu pengiktirafan kepada peranan penting yang dimainkan oleh wanita hari ini kerana mereka turut sama menyumbang sumber pendapatan untuk keperluan keluarga dan berkemampuan untuk membina masa depan mereka sendiri.
Beliau berkata, wanita sebenarnya mempunyai keperluan hidup yang berbeza daripada keperluan lelaki. Memandangkan kehidupan seorang wanita itu berlainan daripada lelaki, perancangan kewangan yang terbaik perlu dibina mengikut keperluan uniknya.
“Perancangan itu termasuklah pengenalan pelan insurans istimewa, khusus untuk wanita saja, agar ia dapat memenuhi keperluan mereka. Antara keperluan wanita yang perlu diberi perhatian serius ialah wanita biasanya hidup lima hingga 10 tahun lebih lama daripada lelaki. Wanita juga didapati lebih cenderung menghidap penyakit berbanding lelaki, terutama selepas berumur 40-an.
“Selain itu, wanita lebih cenderung menjadi mangsa kepada gejala sosial seperti kes ragut, culik, rogol, bunuh dan rompakan, berbanding lelaki. Tiga faktor atau keperluan berkenaan menyebabkan produk insurans wanita direka khas untuk memenuhi keperluan hidup seorang wanita,” katanya.
Azha berkata, statistik menunjukkan ketika tua, satu pertiga wanita hidup seorang diri sama ada sebagai bujang, balu atau janda. Fakta juga mendapati, lebih 80 peratus penghuni rumah jagaan warga emas terdiri daripada wanita yang tidak berkemampuan untuk menyara hidup mereka sendiri kerana tiada simpanan persaraan atau pencen.
Selain itu, dianggarkan satu daripada 19 wanita Malaysia menghidap penyakit barah payu dara yang mana, lebih 45 peratus daripada pesakit berkenaan meninggal dunia selepas beberapa tahun. Setiap hari pula lebih 95 kes baru pesakit barah dilaporkan di Malaysia dan barah payu dara serta pangkal rahim mencatatkan peratusan paling tinggi.
Jenayah sosial seperti kes ragut, rompakan, rogol mahupun bunuh semakin meningkat dan wanita adalah mangsa utama bagi kebanyakan kes.
“Sudahlah wanita hidup lebih lama daripada lelaki, terpaksa pula menempuh hari tua tanpa suami di sisi. Untuk mengatasi masalah ini, ada insurans wanita yang menyediakan pilihan tambahan dengan memperkenalkan Akaun Simpanan Berkala (Regular-Saving Rider) agar mereka dapat membina tabung persaraan, di samping mendapat perlindungan insurans hayat. Akaun simpanan berkala ini hanya mengenakan caj servis sebanyak lima peratus saja berbanding pelan insurans lain yang mengenakan caj servis sekitar 60 hingga 90 peratus pada tahun pertama,” katanya.
MASALAH KESIHATAN
BELIAU berpendapat, wanita perlu mengutamakan insurans yang lebih berkaitan kepada kesihatan dan hilang keupayaan untuk bekerja kerana kos rawatan hospital serta kos sara hidup yang semakin mahal dari tahun ke tahun. Sama ada seseorang wanita itu perlu mengambil dua atau lebih skim insurans, ia bergantung kepada keadaan kewangannya dan bagaimana seseorang perunding insurans itu menyediakan pakej insurans untuknya.
Katanya, bagi yang mempunyai bajet kewangan agak ketat mungkin lebih baik mengambil satu polisi yang mempunyai kuantiti jumlah perlindungan insurans yang sederhana dan menambah satu atau dua polisi lagi apabila keadaan kewangannya bertambah baik bagi menambah jumlah perlindungan sedia.
“Individu tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk membeli dua atau lebih skim insurans pada satu masa perlu menentukan jenis bencana kewangan yang mana satukah yang menjadi tumpuan utamanya. Sebagai contoh, jika seseorang wanita itu risau akan kebajikannya dan kos rawatan hospital yang sangat mahal, maka dia perlu menumpukan kepada insurans wanita yang memberi kuantiti jumlah perlindungan yang lebih tinggi untuk perlindungan penyakit kewanitaan dan tanggung kos hospital.
“Tetapi jika dia lebih risaukan akan kebajikan diri dan anak-anaknya, terutama sekali makan minum keluarga jika dia hilang keupayaan untuk bekerja atau meninggal dunia lebih awal, maka dia perlu menumpukan kepada insurans wanita yang memberi kuantiti jumlah perlindungan yang lebih tinggi untuk perlindungan sumber pendapatan seperti akibat kematian awal, lumpuh keseluruhan, penyakit kritikal dan penyakit berkaitan wanita.
“Apa yang pasti, memiliki satu polisi terlebih dulu dan menambah polisi pada masa hadapan adalah jauh lebih baik daripada tidak mengambil apa-apa insurans,” katanya.
Bagaimanapun, dalam keadaan sumber kewangan adalah terhad, Azha menasihatkan wanita agar memilih pelan insurans jenis perlindungan tanpa simpanan, berbanding pelan insurans jenis simpanan supaya mendapat kuantiti jumlah perlindungan insurans yang tinggi dengan caruman yang sangat rendah.
Mengenai bilakah masa sesuai untuk mula memikirkan mengambil insurans khusus penyakit berkaitan wanita, katanya, usia purata bagi seorang wanita menghidap penyakit serius seperti barah adalah 43 tahun. Ini bermakna, sekiranya usia wanita itu berumur kurang dari 43 tahun, perlu membuat persediaan dari awal apatah lagi penyakit juga boleh menyerang pada usia muda seperti belasan tahun. Hakikatnya, bersedia dari awal adalah lebih baik daripada menunggu umur 43 tahun.
PERLINDUNGAN JENAYAH
AZHA berkata, perlindungan terhadap jenayah sosial dan keganasan rumah tangga pula satu pilihan tambahan yang boleh dipertimbangkan oleh wanita yang risau akan kebajikan mereka apabila menjadi mangsa keadaan seumpama itu. Lebih-lebih lagi, aliran masa kini menunjukkan terdapat kenaikan mendadak bagi kes jenayah yang mensasarkan wanita sebagai mangsa utama.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukanlah satu jenis faedah insurans yang perlu diutamakan bagi semua wanita. Sama ada faedah insurans jenis itu diperlukan, individu perlu mengkaji gaya hidupnya terlebih dulu. Faedah insurans sebegitu lebih diperlukan oleh wanita yang sering keluar rumah seorang diri (terutama remaja dan pelajar) atau wanita yang gemar berkenalan atau mudah percaya dengan lelaki yang tidak dikenali (blind-date, bomoh atau pengunjung kelab malam).
Begitu juga wanita yang mempunyai pasangan bersikap panas-baran dan terlalu mengawal serta individu yang mempunyai paras rupa menarik dan golongan profesional yang berpendapatan tinggi. Ini kerana golongan seperti itu yang biasanya berisiko tinggi untuk menjadi mangsa jenayah sosial.
FAHAMI KEPERLUAN DIRI
KEBANYAKAN wanita di Malaysia yang mengambil skim insurans lebih menggemari pelan jenis simpanan, di mana sekiranya tidak ada apa-apa berlaku sehingga tempoh matang polisi, mereka akan mendapatkan semula caruman insurans yang sudah dibayar, berserta dengan pulangan pelaburan.
Azha Syazri Azizan berkata, senario itu berlaku kerana kebanyakannya tiada pengetahuan mengenai produk insurans dan kerap menganggap, pelan insurans jenis perlindungan tanpa simpanan (bayaran hangus) sebagai satu kerugian jika tiada tuntutan dilakukan.
Katanya, individu harus ketahui bahawa tidak kira pelan insurans itu berbentuk simpanan atau perlindungan semata-mata, caj insurans yang dikenakan tetap hangus (tidak dikembalikan) kerana ia digunakan bagi membentuk tabung pampasan peserta.
Cuma apabila individu memilih pelan insurans berbentuk simpanan, mereka terpaksa membayar empat hingga lima kali ganda lebih mahal daripada pelan jenis perlindungan yang menawarkan faedah insurans sama dan terpaksa mengikut syarat sudah ditetapkan oleh syarikat insurans itu seperti caj khidmat, syarat pengeluaran awal dan sebagainya.
“Bagi wanita yang ingin membeli insurans, anda perlu merujuk kepada perunding insurans yang profesional dan terlatih, berbanding ejen insurans yang lebih gemar mempromosikan produk melalui gimik jualan. Ini kerana, perunding insurans profesional biasanya akan membuat kaji selidik mengenai diri dan keperluan kewangan pelanggan terlebih dulu sebelum mencadangkan apa juga jenis insurans.
“Dengan melakukan kaji selidik mendalam, barulah perunding insurans itu dapat mengenalpasti jenis bencana kewangan yang akan dihadapi dalam kehidupan pelanggan dan berupaya untuk mencadangkan pelan bersesuaian bagi mengatasi masalah kewangan itu. Sebaliknya, tanpa kaji selidik mengenai keperluan kewangan, pelanggan mungkin akan terpedaya dengan gimik jualan dan terbeli pelan insurans yang bukan saja tidak memenuhi keperluan hidupnya, malah dibeli dalam kuantiti jumlah perlindungan insurans yang terlalu rendah berbanding keperluan hidup sebenar,” katanya.
Azha berkata, untuk memilih dan membeli insurans yang terbaik pula ia bukanlah bersandar pada nama atau status syarikat tertentu sama ada tempatan atau antarabangsa, konvensional mahupun takaful serta kemampuan sesebuah produk insurans untuk ‘menyumbat’ semua faedah dalam satu pelan misalnya, tujuh dalam satu dan sebagainya.
Sebaliknya, beliau percaya insurans terbaik adalah polisi yang dapat memenuhi keperluan kewangan individu ketika berlaku bencana kewangan dan dibeli dalam kuantiti jumlah perlindungan yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Tidak kira sama ada disediakan dalam satu pelan atau didatangkan dalam pakej dengan beberapa polisi lain.
Mengulas mengenai sesetengah kes dalam membuat tuntutan insurans, ada yang tidak mendapat manfaat sepatutnya seperti mana digembar-gemburkan, Azha berkata, ada kala ia berpunca daripada tindakan ejen insurans tidak beretika ketika melakukan penjualan.
“Apabila tuntutan ditolak oleh syarikat insurans mungkin ada sesuatu yang tidak kena atau menimbulkan persoalan. Ini termasuklah berkemungkinan, ejen melakukan penipuan atau mengada-adakan faedah yang tidak wujud dalam pelan. Selain itu ia juga boleh berpunca daripada sikap peserta insurans yang enggan meneliti atau memahami isi kandungan polisi insurans mereka, terutama dari segi syarat jaminan, skop perlindungan dan syarat tuntutan.
“Sikap negatif seperti suka menyembunyikan fakta penting atau berbohong ketika membuat permohonan insurans juga antara penyebab utama mengapa tuntutan insurans ditolak. Sebarang maklumat penting yang disembunyikan daripada syarikat insurans ketika proses kelulusan, akan menjejaskan kesahihan kontrak dan boleh menyebabkan polisi insurans terbatal, walaupun ia sudah berbayar lebih dari dua tahun,” katanya.

ARTIKEL INI DI PETIK DARI http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ratu/20081017084617/Article/

No comments:

Featured Post

kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye

Salam, kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye. Takaful bukanlah jaminan kesihatan, tapi mengelakkan kita mnggunakan simpanan untu...