1. Berikutan isu viral isu pemegang amanah yang tidak amanah dalam kes waris kemalangan mangsa kemalangan DUKE yang menguruskan sumbangan orang ramai, publik mulai celik dengan isu-isu seputar penamaan dan pemegang amanah yang selama ini jarang diambil peduli.
2. Dalam kes tersebut, saya serahkan isu tersebut kepada mahkamah dan pihak berwajib untuk mengeluarkan keputusan.
3. Untuk tulisan ini, saya ingin berkongsi beberapa isu yang berkaitan dengan penamaan, pemegang amanah dan trustee dari sudut perancangan kewangan.
4. Dalam perancangan kewangan, aspek penamaan merupakan satu “blind spot” yang jarang-jarang-jarang diberi perhatian. Ia nampak kecil tapi memberi impak yang besar jika tidak diurus dengan baik.
5. Berikut merupakan beberapa berdasarkan dari kisah benar, yang mungkin akan berlaku kepada kita, suami atau isteri kita, ibu ayah kita, adik beradik kita, atau saudara mara dan sahabat handai jika aspek ini tidak diberi perhatian dengan baik;
KES 1:
Aqil dan Maiza (kedua-dua bukan nama sebenar) telah mendirikan rumah tangga selama 15 tahun. Aqil telah mengambil polisi takaful semenjak daripada mereka belum dikurniakan cahaya mata lagi, dan meletakkan nama isterinya, Maiza sebagai penama bagi polisi takafulnya. Disangka cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Istana bahagia yang mereka layari selama ini tidak mampu bertahan lama akibat orang ketiga.
Akhirnya pasangan ini bercerai dengan baik dan Aqil berkahwin dengan Wahidah (bukan nama sebenar). Malang pula tidak berbau, Aqil meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Selaku isteri yang sah, Wahidah membuat tuntutan daripada syarikat takaful. Alangkah terkejutnya dia apabila ia ditolak oleh pihak syarikat kerana penama di dalam polisi tercatat nama Maiza.
Maiza pula mempertahankan haknya sebagai bekas isteri kerana pampasan tersebut penting untuk meneruskan sara hidup anak-anaknya hasil perkongsian hidup selama 15 tahun bersama Aqil.
Manakala Wahidah pula mempertahankan haknya sebagai isteri yang sah ketika Aqil meninggal dunia.
KES 2:
Masywi (bukan nama sebanar) bertunang dengan Deana (juga bukan nama sebenar) selama beberapa tahun. Di awal pertunangan mereka, Masywi telah meletakkan nama Deana sebagai penama bagi KWSPnya. Namun pertunangan mereka tidak berkekalan. Masywi telah beralih arah dan jatuh cinta dengan Syikin (juga bukan nama sebenar). Mungkin jodoh Masywi dan Deana tidak ada, maka Masywi berkahwin dengan Syikin. Deana juga mencari cinta baru selepas ditinggalkan cinta pertamanya.
Usia perkahwinan Masywi dan Syikin memang panjang. Dalam usia emas Masywi meninggal dunia atas sebab tua, meninggalkan Syikin dan anak-anak yang sudah besar panjang.
Selepas selamat dikebumikan, Syikin menunaikan beberapa tanggungjawabnya selapas kematian suaminya itu, termasuklah menguruskan wang KWSP Masywi.
Alangkah terkejutnya dia apabila dimaklumkan oleh pegawai KWSP bahawa wang KWSP Mawi hanya boleh dituntut oleh penama yang tercatat di dalam borang KWSP Mawi, dan nama yang tercatat ialah Deana!
KES 3:
Aizil (bukan nama sebenar), mengambil polisi takaful semenjak bujang lagi. Beliau meletakkan nama ibunya, Azizah (juga bukan nama sebenar) sebagai penama. Selepas berapa tahun mengambil polisi takaful, Aizil berkahwin dengan Reetah (juga bukan nama sebenar) tanpa restu ibu bapanya.
Selepas berkahwin, sikap Azizah dingin terhadap menantunya itu lantaran perkahwinan yang tidak direstuinya itu.
Perkahwinan mereka dikurniakan beberapa orang cahaya mata. Malang tidak berbau, ketika usia perkahwinan mereka mencecah 15 tahun, Aizil menghidap kanser. Sebelum sempat membuat tuntutan takaful penyakit kritikal, dia meninggal dunia.
Lantas Reetah meneruskan membuat tuntutan takaful bagi pihak suaminya. Namun pihak takaful menyarankan agar Reetah untuk mendapatkan persetujuan daripada Azizah kerana polisi takaful tersebut adalah atas nama ibunya itu.
Namun, atas rasa tidak puas hati yang masih terkesan semenjak kes dahulu, Azizah enggan berkompromi dengan menantunya itu. Lantas beliau menuntut pampasan takaful tersebut.
Azizah mendakwa, ”Yang mati anak aku. Aku yang mengandung dan melahirkannya daripada perut aku. Dan aku jugalah yang membesarkannya daripada kecil selama 21 tahun sebelum dia berkahwin”.
Reetah terpaksa berendam perasaan mengenangkan anak-anak masih kecil hasil perkongsian hidupnya dengan Aizil.
KES 4:
Fazz (bukan nama sebenar) seorang anak tunggal, berkawan baik dengan Fafa (bukan nama sebenar) sejak kecil. Kedua-dua memang rapat sejak kecil hingga dewasa dan berkongsi pengalaman manis dan pahit bersama-sama.
Dari sekolah, universiti, malah selepas grad pun masih bersama tinggal serumah dan bekerja di kawasan sama. Sama-sama membina kehidupan dan kekayaan di ibu kota, dalam keadaan masing-masing belum mendapat jodoh.
Suatu hari mereka berpakat untuk membuat wasiat dengan sebuah syarikat trustee dan saling meletakkan nama mereka sebagai pemegang amanah.
Fazz meletak nama Fafa penama dalam wasiat, manakala Fafa letakkan nama Fazz dalam wasiat masing-masing.
Hendak dijadikan cerita, Fazz meninggal dunia akibat kemalangan ngeri. Apabila kes urus pusaka Fazz diuruskan oleh ibu bapa Fazz, Fafa sebagai penama harta yang dimiliki oleh arwah Fazz enggan menyerahkan kepada ahli keluarga selaku waris yang sah.
Ibu bapa Fazz yang hanya bekerja kampung hanya berputih mata lantaran peristiwa itu.
NOTA: Kisah-kisah di atas adalah daripada kisah benar yang sampai kepada penulis melalui sumber yang sahih sebagai seorang konsultan dalam bidang servis kewangan sejak tahun 2013. Nama, watak, dan lokasi sudah diubahsuai dan sekiranya berlaku kesamaan dengan mana-mana individu yang masih hidup atau meninggal dunia hanyalah kebetulan dan tidak disengajakan.
kredit: Afyan Mat Rawi
mbk
akupenjualinsurans.blogspot.com
0192853910