Tuesday, April 22, 2014

Saya Mampu Membuat Hutang Lagi...



 Baru-baru ini didedahkan bahawa terdapat 36 000 rakyat negara ini yang menanggung beban hutang yang tinggi sehingga terpaksa merujuk kepada Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit(AKPK) akibat gagal melunaskan hutang rawatan perubatan.

Rata-rata mereka ini berumur di antara 20an dan 50an dan mengambil masa maksimum 10 tahun untuk melangsaikan hutang tersebut. Menurut AKPK, angka tersebut merupakan 26% daripada keseluruhan 140,462 pelanggannya yang buntu bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang.

Jumlah itu pula dijangka terus meningkat kerana gaya hidup rakyat negara ini yang kurang bersenam, tekanan kerja dan gemar mengambil makanan segera. Mengikut AKPK, trend berhutang untuk membayar kos rawatan perubatan semakin meningkat setiap tahun.

Pada tahun 2007, sebanyak 18% sahaja yang dirujuk kepada AKPK dan kini meningkat kepada 26%. Dalam kebanyakan kes, pesakit menggunakan kad kredit untuk mendapatkan rawatan awal. Ini kerana hospital-hospital swasta enggan menerima pesakit yang tidak mempunyai deposit. Oleh itu jalan mudah adalah bagi mereka menggunakan kad kredit.


Akhirnya, bukan sekadar membayar deposit sahaja menggunakan kad kredit, keseluruhan kos rawatan juga dibayar menggunakan kad kredit. Timbul persoalan apakah yang menyebabkan kos rawatan tinggi di hospital swasta? Ini kerana doktor profesional tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tinggi terhadap pesakit kerana mempunyai jadual dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kadar bayaran doktor profesional adalah tertakluk di bawah Jadual ke 13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006. Ini bermakna kadar caj doktor telah ditetapkan jumlahnya.

Oleh itu caj yang mahal bukan disebabkan oleh bayaran doktor atau kepakaran, tetapi bayaran lain seperti sewa peralatan dan bilik bedah, penyelenggaraan yang tinggi serta kemudahan bilik rawatan terkini bertaraf lima bintang.

Terdapat juga caj bagi perkhidmatan jururawat, alat pakai buang, ubat yang lebih mahal serta bayaran perkhidmatan untuk buang sampah, yang juga dikenakan kepada pesakit. Ini yang menyebabkan bayaran hospital swasta kebanyakannya terlalu tinggi.

Berbanding dengan hospital kerajaan di mana perkhidmatan dan ubat-ubatannya ditanggung oleh kerajaan dan pesakit hanya membayar alat ganti dalam pembedahan. Seeloknya pesakit mendapatkan maklumat terperinci mengenai kos rawatan sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital swasta. Pesakit juga perlu bertanya tentang sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku, contohnya komplikasi semasa pembedahan yang akan mengakibatkan caj tambahan.
Jika pesakit sudah dilindungi di bawah insurans, pastikan jika terdapat had kepada jumlah kos rawatan yang ditanggung pihak insurans agar tidak terpaksa membayar lebih dari jumlah yang ditetapkan.

Dibebani hutang kerana kos perubatan yang tinggi

KES 1 : DIBEBANI HUTANG RAWAT PENYAKIT ANAK

Deva Tharsinny, 13, sering keluar masuk hospital sejak berusia 2 tahun

Dia dilahirkan dengan penyakit mata yang memerlukan pembedahan akibat penglihatannya yang semakin kabur.

Ketika penyakitnya dikesan kali pertama di Hospital Umum Klang, Anbarasan diberi pilihan untuk menghantar anaknya ke tiga hospital lain untuk meneruskan rawatan susulan kerana hospital awam tidak mempunyai pakar untuk merawat anaknya.

"Kesemuanya hospital swasta. Hanya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sahaja yang semi swasta dan memikirkan yang ia mungkin murah, kami pun ke sana."

Hasil dari dua pembedahan utama dan beberapa pembedahan seterusnya, Deva Tharsinny boleh melihat semula.

Namun ketika berusia 9 tahun, keluarganya diuji sekali lagi.

"Ketika satu pemeriksaan susulan di HUKM, doktor dapati salah satu pembuluh yang menyalur ke buah pinggangnya menjadi sempit dan memutuskan untuk melakukan prosedur stenting," katanya.

Stenting ialah satu prosedur memasukkan tiub atau kerangka besi ke dalam saluran pembuluh darah yang sempit.

Bagaimanapun, prosedur tersebut tidak berjaya dan sejak itu kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi.

Pada satu ketika, keadaan Deva Tharsinny bertambah teruk menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama sebulan.

Pada masa itu, Anbarasan masih mempunyai sebuah kedai gunting rambut yang telah disewa selama 20 tahun di Setapak.

Pendapatannya ketika itu sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dan mampu mengaji seorang pekerja dengan bayaran sebanyak RM1,600 serta mampu membayar bil hospital.

Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah lebih buruk dua tahun yang lalu apabila pemilik kedai tersebut mengambil semula kedainya.

Untuk mengurangkan perbelanjaan, keluarganya berpindah ke rumah sewa yang lain di Klang selepas dia terpaksa menutup kedai.

Anbarasan kemudian mendapat pekerjaan di sebuah kedai gunting rambut berdekatan namun hanya dengan berpendapatan RM2,000 sebulan.

"Sejak itu saya tidak mampu lagi untuk menyara keluarga dan membayar kos perubatan. Saya mula lewat membayar pinjaman kad kredit dan faedah makin tinggi."

Walaupun Deva Tharsinny akhirnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur, namun penyakit yang dialami bertahun-tahun menyebabkan keluarganya dibebani hutang.

Dengan pendapatan yang rendah, ansuran kereta RM300 dan sewa rumah RM700, Anbarasan berhutang dengan bank sebanyak RM35,000.

Isterinya tidak boleh bekerja kerana Deva Tharsinny perlu menjalani rawatan dialisis 4 kali sehari di rumah.

Setelah segala perubahan dan penjimatan telah dilakukan dengan sedaya upaya namun mereka masih tidak mampu untuk memiliki sebuah rumah walaupun Anbarasan sudah bekerja keras bertahun lamanya. Apa pun, Anbarasan tenang dan reda dengan nasibnya.

"Ya, rawatan perubatan memang mahal, semua pun mahal, tapi apa pilihan yang saya ada? Anak atau wang? Wang boleh dicari, tapi jika saya kehilangan anak..."


Anbarasan juga sejak itu telah mendapatkan nasihat kewangan dari Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK).

KES 2 : TERKEJUT DENGAN BIL HOSPITAL YANG TINGGI SELEPAS DIRAWAT 2 MINGGU

RANI (bukan nama sebenar), 31, amat terkejut apabila diminta membayar RM90,000 selepas dirawat selama 2 minggu di sebuah hospital swasta.

Dia yang mengalami pneumonia pada April, dimasukkan ke sebuah hospital swasta dengan satu surat jaminan dari majikannya. Keadaannya menjadi teruk selepas 3 hari dan dia dihantar ke Unit Rawatan Rapi untuk pemerhatian selanjutnya. Dia sepatutnya berada di sana hanya sehari atau dua namun dia ditahan selama 8 hari.

"Mereka melakukan pemeriksaan dan memberi saya ubat untuk prosedur tersebut. Saya diberi dos yang tinggi menyebabkan saya tertidur lebih lama dari dijangkakan iaitu 5 hari," katanya yang bekerja di sebuah syarikat media.

Apabila dia sedar, bil perubatannya mencapai RM80,000. Kerana bimbang bil perubatan akan meningkat jika tinggal lebih lama, dia meminta supaya dikeluarkan.

"Mereka pada mulanya teragak-agak kerana hanya sebahagian dari paru-paru saya sudah pulih. Namun saya terus meminta dan pada hari ke 14 saya keluar."

Bilnya kemudian berjumlah RM86,000 dan insuran berkumpulan yang diambil di bawah syarikatnya hanya membayar RM4,500 setahun.

Bapanya, seorang pesara tentera yang berkerja sebagai pemandu teksi, tidak mampu untuk membantu manakala ibunya pula sudah meninggal dunia akibat menderita penyakit kencing manis sekian lama setahun sebelum itu.

Dengan hanya wang simpanan yang sedikit dan tiada insuran peribadi, Rani panik.

"Hanya saya dan bapa. Saya tak tahu apa nak buat."

Dia bernasib baik kerana majikannya membantu dan berunding dengan hospital tersebut. Mereka memberikannya diskaun sebanyak RM10,000 dan membayar RM45,000, iaitu sebahagian dari bil tersebut.

"Baki hutang dibayar oleh majikan saya. Saya membayar majikan saya balik denga gaji ditolak RM500 sebulan.

Rani sekarang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital tersebut kerana tidak mendapatkan izinnya atau berbincang dengannya cara rawatan sebelum meneruskan rawatan.

"Mereka tidak memaklumkan saya berapa kos perubatan atau kesan dari rawatan tersebut.

"Mereka sepatutnya tanya saya dulu jika saya ingin meneruskan rawatan di hospital mereka atau dipindahkan ke hospital awam.

"Jika lebih awal saya tahu kosnya agak tinggi, saya tidak akan meneruskan rawatan di situ. Mereka tidak berbincang sebelum memulakannya, atau dengan bapa saya, yang berada di situ selepas saya tidak sedarkan diri," katanya.

Apabila ditinjau kembali, Rani berkata mereka seolah-olah tidak sabar untuk meneruskan rawatan.

"Sekarang setiap kali saya datang balik untuk pemeriksaan, mereka bertanya jika saya yang akan bayar bil atau majikan. Saya rasa mereka boleh caj saya lebih jika majikan yang membayar bil."

KES 3 : MASA MENUNGGU DI HOSPITAL AWAM TERLALU LAMA

Kecederaan belakang yang dialami Nordin Hassan menyebabkan dia mengalami kesakitan yang teruk dan ia juga menyebabkan dia berhutang.

Kecederaan tersebut dialami pekerja hotel itu ketika mengangkat benda berat semasa bekerja sebagai penjaga stor beberapa tahun yang lalu.

Sejak itu, dia terperangkap dalam masalah hutang kad kredit yang tinggi dan masih cuba membayar pinjaman yang tertunggak sehingga kini.

Dia berkata pada mulanya dia pergi ke hospital awam untuk mendapatkan rawatan, namun giliran menunggu terlalu lama.

"Temujanji pada pukul 7 pagi, tapi nama saya hanya dipanggil pada pukul 1 tengah hari. Setelah saya dipanggil masuk, doktor hanya bercakap dengan saya tanpa melakukan sebarang pemeriksaan," katanya.

Perjalanan ke hospital swasta juga bermakna dia perlu membayar kos pengangkutan kerana dia tidak boleh memandu.

"Saya akan ke hospital beberapa kali seminggu. Dengan menaiki teksi pergi dan balik kosnya saja RM50."

Dia akan mengalami kekejangan otot pada tulang belakangnya secara tiba-tiba jika cuaca sejuk dan ini membahayakannya jika menunggang motosikal.

Pernah sekali, ketika menunggang di dalam hujan lebat, dia mengalami kekejangan menyebabkan dia terjatuh dari motosikalnya. Dia terbaring 3 jam di tepi jalan di dalam hujan sebelum dibantu seseorang. Orang itu ingat saya mangsa langgar lari, katanya.


"Hanya sekarang saja kewangan saya bertambah baik," kata Nordin.


Perancangan yang lemah

Perancangan kewangan yang lemah dan tabiat berbelanja yang tidak mengikut kemampuan diri merupakan faktor utama penyebab masalah hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian.

Beliau berkata daripada 90,807 peminjam yang dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) AKPK bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei lalu, 20,886 atau 23 peratus merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan lemah.

Katanya 18,161 atau 20 peratus lagi berhutang disebabkan perbelanjaan perubatan yang tinggi; lain-lain (17,253/19 peratus); masalah atau kegagalan perniagaan (13,621/15 peratus); gagal mengawal penggunaan kad kredit (9,989/11 peratus); kehilangan pekerjaan (9,081/10 peratus); manakala kematian atau hilang punca pencari nafkah dan kegagalan dalam pelaburan masing-masing (908/satu peratus).

credit to:
1. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8409-masalah-hutang-perubatan-tinggi-rakyat-malaysia
2. http://duniaitu.blogspot.com/2013/09/isu-dibebani-hutang-kerana-kos.html
3. http://www.ashrieerazak.com/medical-card/hutang-tertinggi-kos-perubatan/#sthash.1BhKz8bC.dpuf

mardiyah79@gmail.com

No comments:

Featured Post

kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye

Salam, kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye. Takaful bukanlah jaminan kesihatan, tapi mengelakkan kita mnggunakan simpanan untu...