Sumber : Berita Minggu
Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan penyakit jantung adalah penyebab kematian nombor satu di Malaysia yang merangkumi 16.5 peratus kematian di hospital pada 2008. Malah, anggaran penyakit jantung koronori di negara ini adalah 40,000 kes baru setiap tahun bagi sejumlah 28 juta penduduk atau ringkasnya - 4.52 kes baru setiap jam!
Bagi penyakit barah pula, maklumat kanser Malaysia 2006 yang dikumpul kementerian pula menunjukkan seorang bagi setiap tujuh rakyat Malaysia berisiko menghidap penyakit itu.
Meskipun statistik agak mengerikan, kadar pemulihan menggalakkan jika diagnosis dan rawatan diberikan pada peringkat awal penyakit kritikal. Malah, berbekalkan kemajuan perubatan, kadar pemulihan hari ini lebih baik dari dulu. Dalam kebanyakan kes, pesakit yang pulih boleh meneruskan kehidupan produktif. Akan tetapi, pesakit perlu membuat peruntukan untuk kos pemulihan, rawatan khas dan perubahan diet dan ini memerlukan sokongan kewangan yang kukuh.
Apakah dana kita mencukupi untuk mendapatkan rawatan? Menurut kajian Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pada 2008, ahli berusia 54 tahun memiliki purata simpanan sebanyak RM132,539 sahaja. Tinjauan sebuah bank pula melaporkan rakyat Malaysia hanya memiliki simpanan yang boleh bertahan 11 minggu. Sekiranya mereka kehilangan mata pencarian, satu bagi setiap lima orang menyatakan simpanan mereka boleh menanggung perbelanjaan biasa selama empat minggu sahaja. Simpanan ini hanya meliputi perbelanjaan harian dan tidak termasuk perbelanjaan perubatan untuk sesuatu penyakit kritikal.
Kos perubatan kanser boleh menokok sehingga RM300,000 sementara rawatan buah pinggang memerlukan RM150,000 ke atas. Pemindahan organ utama pula memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000.
Kalau dulu penyakit kritikal dianggap tiada harapan untuk pulih, kini dengan kemajuan perubatan, penyakit kritikal boleh dirawat. Persoalannya sekarang, adakah kita mempunyai dana yang mencukupi untuk rawatan ini?
"Rawatan penyakit kritikal sering memakan tempoh yang lama dan membabitkan kos pemulihan yang tinggi selain kemungkinan kehilangan mata pencarian. Ini amat membebankan kewangan pesakit dan mereka yang tersayang. Atas alasan itulah persediaan kewangan amat penting.
Kos rawatan swasta dijangka naik
Kuala Lumpur: Cadangan bayaran kos perundingan dan rawatan bagi doktor serta pakar perubatan swasta yang tidak disemak lebih 10 tahun lalu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat.
Ia susulan pindaan kepada Jadual Ke-13 mengenai Bayaran Profesional, Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 yang menetapkan kadar bayaran profesional kira-kira 12,000 pengamal perubatan, doktor serta pakar swasta di negara ini. Difahamkan, kos perundingan dan rawatan itu dijangka naik 14 peratus, iaitu separuh dari permintaan industri yang memohon caj profesional pihak terbabit, dinaikkan antara 20 hingga 30 peratus berdasarkan kenaikan tahunan indeks harga pengguna (CPI) dua hingga tiga peratus sejak 10 tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ketika ini semakan jadual bayaran doktor dan pakar telah siap kecuali jadual bayaran bagi doktor gigi.
Bayaran profesional pengamal perubatan, doktor dan pakar swasta memang disemak setiap lima tahun sekali. Kabinet akan membuat keputusan mengenainya, katanya selepas merasmikan Pusat Neurosains dan Ortopedik ANOC di Menara BRDB, di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Pusat Neurosains dan Ortopedik ANOC Sdn Bhd, Dr Chee Chee Pin.
Malaysia antara negara di rantau ini yang mengawal dan menetapkan kadar bayaran profesional bagi pengamal perubatan, doktor dan pakar perubatan swasta bagi memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatannya tidak membebankan rakyat.
Sumber: Berita Harian 2012