Monday, October 18, 2010

OKTOBER Bulan Merah Jambu

Ingat Merah Jambu, Ingat pencegahan


SETIAP wanita harus memeriksa payudara pada setiap bulan setiap kali selepas haid bermula pada hari ketujuh bagi memastikan payudara dalam keadaan normal serta mengesan tiada benjolan berbahaya pada payudara mereka.

Walaupun barah payudara berlaku pada usia 30 tahun ke atas, pemeriksaan awal terutama selepas haid pertama pada setiap bulan memungkinkan wanita terbiasa dengan perubahan yang ada pada payudara mereka, seterusnya mendapatkan rawatan segera.

Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur, barah payudara tidak boleh dicegah, namun pengesanan awal membolehkan penghidap mampu menjalani kehidupan lebih panjang serta berkualiti.

“Wanita harus prihatin pada perubahan yang berlaku pada payudara mereka. Ibarat sebiji jerawat yang tumbuh pada kulit muka, wajah akan dibelek setiap hari, jerawat akan dipicit, begitu juga dengan payudara.
“Sentuh, pegang serta rasai perubahan pada payudara setiap hari bermula pada usia remaja sehingga apabila usia anda mencecah 30 tahun, perubahan yang tidak normal akan mudah dikesan, seterusnya segera mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah Ranjit, apabila wanita meningkat usia 30 tahun mereka harus berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan secara klinikal. Ini kerana pemeriksaan secara terperinci akan dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada payudara.

Apabila usia meningkat 40 tahun, wanita harus menjalani rawatan mamogram pada setiap tahun bagi mengesan sekiranya terdapat sel barah. Rawatan mamogram mampu mengesan sel barah dua tahun lebih awal sebelum merebak.

“Mamogram adalah ujian untuk mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin pengimbas khas. Ini dilakukan dengan menekan payudara di antara dua kepingan logam.

“Walaupun akan menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan, ia hanya untuk beberapa ketika. Rawatan mamogram boleh mengukur saiz dan penyebaran barah pada payudara serta mengesan barah pada payudara sebelah lagi.

“Sekiranya sel barah masih terlalu kecil dan berada pada peringkat pertama, rawatan segera membantu mengelak sel merebak.


“Malangnya 30 peratus hingga 60 peratus pesakit yang datang ke hospital sudah berada pada tahap kritikal iaitu tahap tiga dan empat serta tidak mempunyai harapan untuk sembuh,” katanya.

Ranjit menjelaskan, rawatan kepada penghidap barah bergantung kepada jenis dan tahap keterukan barah. Sekiranya wanita didiagnosa menghidap barah payudara, mereka perlu mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dulu sebelum menjalani rawatan.
“Kajian menunjukkan kaunseling, sokongan dan maklumat mengenai penyakit dan rawatan yang dijalankan akan membantu memulihkan pesakit serta mengurangkan masalah yang ditanggung pesakit sama ada dari segi fizikal dan emosi,” jelasnya.

Antara rawatan yang dijalankan adalah pembedahan sama ada membuang atau tanpa membuang payudara, pembentukan semula payudara, radioterapi, kemoterapi dan terapi hormon yang semuanya mempunyai kesan berbeza bergantung kepada tahap keterukan kanser.

Walaupun pelbagai program diadakan mengenai bahaya barah payudara, ramai wanita masih tidak mahu melakukan pengesanan awal sehinggakan barah ini menjadi pembunuh utama wanita berbanding penyakit lain.

Menurut Daftar Barah Kebangsaan (NCR), sejak dua tahun lalu, sekurang-kurangnya 70,000 kes barah baru dilaporkan dan barah payudara adalah ancaman paling besar.

“Kadar kematian yang tinggi dan meningkat setiap tahun tidak seharusnya berlaku. Walaupun barah payudara tidak boleh dicegah, pengesanan awal mampu memberi peluang kepada pesakit untuk hidup lebih lama. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai banyak masa bersama keluarga serta menjalani kehidupan lebih bermakna,” katanya.

Menurut Ranjit, setiap tahun BCWA mengadakan pelbagai kempen, bengkel serta pameran di pusat beli-belah mengenai bahaya barah serta meminta sukarelawan menunjukkan cara menjalankan pemeriksaan payudara sendiri.

Bulan Oktober setiap tahun dipilih sebagai bulan barah payudara sedunia bagi memberi kesedaran kepada wanita mengenai bahaya penyakit ini.

Tambahnya, dia sangat berbesar hati apabila ada syarikat korporat seperti Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad menjadi penaja kempen unik Pink Oktober anjuran Gleneagles Kuala Lumpur bagi mengumpul dana RM75,000 untuk disalurkan kepada BCWA.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memberikan sumbangan dengan membeli beg Pink Couture rekaan pereka fesyen Bill Keith yang diperbuat daripada kanvas serta boleh dikitar semula bernilai RM25.

Turut hadir pada majlis berkenaan, pereka kasut tersohor, Profesor Datuk Jimmy Choo yang berkongsi cerita mengenai ketabahan ibunya yang menghidap barah �payudara yang berjaya dikesan sejak peringkat pertama.

Menurut Choo, ibunya sangat mementingkan kesihatan dan sering menjalani rawatan kesihatan di hospital sebelum dikesan menghidap barah.

“Keterbukaan wanita serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan mengenai penyakit yang mereka hadapi memungkinkan penyakit barah payudara mampu dikesan lebih awal sebelum merebak ke tahap lebih kritikal.

“Sebagai contoh, ibu saya menghidap barah payudara, namun dia menerima dengan tabah serta menghadapi hari-hari mendatang dengan gembira. Ini kerana kegembiraan serta ketenangan membuatkan kehidupannya lebih berkualiti dan bermakna.

“Tambahan pula, apabila seluruh keluarga memberi sokongan kepadanya sama ada dalam bentuk mental dan fizikal sehingga dia mampu menjalani kehidupan yang sangat baik sepanjang 15 tahun sebagai penghidap barah,” katanya.

Menurutnya, setiap wanita harus mempunyai kesedaran, pengetahuan serta tanggungjawab kepada diri sendiri dengan menjalani pemeriksaan awal barah payudara.

Walaupun mereka tidak menghidapnya atau masih berada pada peringkat awal, pemeriksaan harus dilakukan terutama bagi wanita yang sudah meningkat usia 40 tahun, lakukan pemeriksaan pada setiap tahun.

Selain itu, orang ramai harus memberi sokongan kepada pesakit barah tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Sokongan moral dan emosi mampu menghalang sel daripada merebak lebih cepat di samping rawatan kesihatan di hospital.

“Seperti yang dilakukan pada hari ini, walaupun hanya membeli sebuah beg bernilai RM25, anda mampu membantu mereka yang memerlukan. Malah, perkataan dan lambang pada beg walaupun hanya reben berwarna merah jambu, mesej yang ingin �disampaikan sangat besar iaitu ‘fikirkan mengenai kesihatan’,” katanya.

Selain Choo, turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim; pemilik Pusat Mutiara Rafflesia, Winnie Sin serta perunding bedah barah payudara Gleneagles Kuala Lumpur, Datuk Dr Suseela Nair serta selebriti tanah air.

Orang ramai boleh membeli beg Pink Couture berharga RM25 di Gleneagles Kuala Lumpur serta Menara Great Eastern.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti yang diadakan Gleneagles Kuala Lumpur sempena bulan Pink Oktober, anda boleh melayari laman sesawang www.gleneagles.com.my.

Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

Periksa payudara anda pada hari ketujuh hingga ke-10 ketika haid. Terdapat tiga kaedah PSP yang dilakukan iaitu:

Kaedah 1

Periksa payudara ketika berbaring dengan meninggikan bahu kanan menggunakan bantal atau tuala.

Tekan payudara sebelah kanan menggunakan tangan kiri dengan pergerakan membulat dan rasakan sebarang ketumbuhan atau penebalan kulit.

Picit puting dan kawasan di sekelilingnya perlahan-lahan dan periksa untuk memastikan kewujudan
cecair jernih atau berdarah.

Ulangi langkah yang sama pada payudara sebelah kiri.

Kaedah 2
Berdiri di hadapan cermin untuk memeriksa payudara

Periksa payudara ketika berdiri tegak, tangan diangkat ke atas dan kemudian memeriksa payudara dengan tangan di pinggang.

Perhatikan sebarang perubahan dari segi saiz, bentuk, kehadiran lekukan atau sebarang perubahan dari segi rupa bentuk dan kedudukan puting. Pastikan anda memeriksa kedua-dua payu dara.

 
Kaedah 3

Dengan kaedah ini anda boleh melakukan PSP ketika mandi iaitu apabila kulit anda basah dan bersabun.

Pastikan jari tangan kiri anda rata dan lakukan pada payudara kanan dengan tangan kanan diangkat ke atas. Ulangi kaedah yang sama untuk payudara sebelah kanan.

Dipetik dari kosmo

Ps:// Ingin maklumat lanjut mengenai kanser payu dara sila lawati halaman rasmi http://www.pinkribbon.com/

1 comment:

akok is a person not a kuih said...

Prudential ada cover untuk penyakit the bib "B" nie.. Untuk wanita Takaful puteri dan untuk prudential (insurans konvensional) PruLady... Satu insurans yang patut diambil.. Yerlahkan... rawatan kanser nie kan mahal.. beringat sebelum terkena..

Featured Post

kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye

Salam, kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye. Takaful bukanlah jaminan kesihatan, tapi mengelakkan kita mnggunakan simpanan untu...