Wednesday, July 21, 2010

Akhlak Seorang Agen Takaful

Bakal pelanggan mesti diberi penjelasan yang tepat dan terperinci sebelum membeli sesuatu produk
AKAD perwakilan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai wakalah bukanlah suatu perkara yang asing dalam masyarakat. Tidak kira sama ada individu tersebut beragama Islam atau tidak, mereka tentunya pernah berurusan dengan pihak lain dengan menggunakan akad perwakilan ini.

Contoh yang paling dekat adalah proses pilihan raya di mana masyarakat diberi peluang mengundi bagi memilih wakil yang membawa suara serta hasrat mereka ke peringkat lebih tinggi dan membela nasib rakyat.

Masyarakat juga biasa menggunakan perkhidmatan pos bagi menghantar surat-surat mereka. Itu merupakan beberapa contoh akad perwakilan yang berlangsung, sama ada disedari atau tidak.

Dari sudut bahasa, wakalah bermaksud memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti. Dari segi syarak, ia bermaksud 'satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup'. Para fuqaha sepakat bahawa akad perwakilan adalah harus di sisi syarak. Menurut Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, ijmak ulama menerima perwakilan sebagai sebuah akad yang diharuskan kerana ia sangat diperlukan oleh orang ramai.

Tentunya hampir kesemua urusan seharian akan tertangguh. Allah SWT mengajar manusia tentang keharusan melaksanakan kontrak wakalah ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Utuslah (wakilkan) salah seorang daripada kamu membawa wang kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ), kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya untuk menghilangkan lapar kamu. (al-Kahfi: 19)

Bukan itu sahaja, sekiranya diamati hadis-hadis nabi, kita akan mendapati baginda SAW juga pernah mewakilkan sahabat-sahabat dalam melakukan sesuatu urusan bagi pihaknya. Antaranya, Rasulullah SAW sering mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan diberi upah. (al-Talkhis al-Habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Demikian juga dalam hadis yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat al-Bukhari, no 3642).

Dalam industri takaful, kebanyakan syarikat pengendali menggunakan akad perwakilan dalam menjalankan operasi mereka. Sekurang-kurangnya terdapat dua aplikasi akad perwakilan dalam operasi tersebut. Pertama, hubungan antara peserta dan syarikat pengendali takaful. Dalam konteks ini, peserta menjadi pewakil iaitu pihak yang mewakilkan urusannya kepada pihak lain.Peserta mewakilkan kepada syarikat untuk mengendalikan carumannya. Syarikat yang menjadi wakil kepada peserta akan memasukkan sebahagian carumannya ke dalam sebuah tabung yang akan digunakan sebagai dana untuk membantu peserta-peserta takaful yang ditimpa musibah. Perlu difahami bahawa dana yang disumbangkan tersebut tidak menjadi hak milik syarikat. Ia masih hak milik peserta sehinggalah ia dibayar kepada penerima. Syarikat hanya bertanggungjawab untuk pengurusan tabung mengikut kepakaran yang ada dan mestilah selari dengan prinsip-prinsip syariah. Sebagai balasan, syarikat berhak mendapat upah daripada peserta mengikut perjanjian yang dimeterai bersama pada permulaan kontrak.

Kedua, dari sudut hubungan antara syarikat dan ejen takaful. Untuk mempromosikan produk-produk takaful kepada prospek, syarikat biasanya akan menggunakan khidmat ejen-ejen takaful.Ejen-ejen tersebut akan bergerak di lapangan masyarakat untuk memperkenalkan produk-produk syarikat yang diwakili. Sekiranya mereka berjaya memikat hati prospek menjadi peserta takaful, syarikat akan membayar komisen sebagai upah kepada mereka. Daripada penjelasan ringkas di atas, kita dapat memahami bahawa syarikat dan ejen adalah merupakan wakil takaful. Sebagai wakil, kedua-dua entiti ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar kerana telah diberi amanah dan dibayar upah oleh pihak pewakil masing-masing.

Dalam menjayakan misi mempromosi produk-produk perlindungan yang berasaskan Islam, syarikat dan ejen takaful perlu mempunyai kefahaman tentang konsep takaful itu sendiri. Ini kerana segala gerak kerja dan usaha tanpa memahami hala tuju dan objektif pastinya tidak akan terarah dan mungkin akan terpesong. Justeru, perlu difahami bahawa mereka adalah sebahagian dari pasukan yang akan menyumbang ke arah pelaksanaan sistem kewangan Islam secara syumul. Melakukan amar makruf nahi mungkar serta membantu individu mendapatkan perlindungan terhadap keluarga dan harta bendanya.

Justeru, dalam menggapai peranan yang sangat besar ini, mereka perlu memastikan setiap individu yang terlibat sebagai wakil takaful mempunyai akhlak dan etika. Ia sangat penting kerana syarikat dan ejen takaful adalah pembawa panji Islam dalam meninggikan sistem kewangan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Sekurang-kurangnya terdapat empat akhlak utama yang perlu diterapkan kepada wakil takaful.

Pertama, wakil takaful perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Syarikat pengendali takaful perlu mempunyai sifat benar dalam mengendalikan tabung peserta takaful. Setiap transaksi dan upah yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Jika ada upah yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada peserta-peserta takaful sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.
Oleh sebab itu, anggota-anggota Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang dilantik perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah.

Mereka perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan. Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada MPS supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka. Ejen-ejen takaful yang dilantik oleh pihak syarikat juga perlu benar dalam melaksanakan tugasnya bertemu para peserta. Ketika mempromosikan produk, mereka perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut.

Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat prospek untuk mengambil produk berkenaan. Sabda Nabi SAW: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Akhlak kedua yang perlu diterapkan oleh wakil takaful adalah amanah. Dalam hal ini, peserta telah melantik syarikat untuk memikul amanah bagi mewakili mereka dalam menguruskan caruman mereka.

Setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Begitu juga dengan ejen-ejen takaful. Mereka mesti melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh kerana mereka diberikan upah oleh pihak syarikat.
Jangan melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat. Ini sekali gus akan merosakkan imej sistem kewangan Islam itu sendiri sehingga kadang-kadang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Wakil takaful perlu menggunakan wadah tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.
Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah. Sekali gus boleh menyelamatkan manusia daripada elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu untuk menggunakan kaedah yang paling berhikmah. Justeru, wakil takaful perlu mempunyai akhlak yang keempat, iaitu fatanah (bijaksana).

Jangan terlalu tergesa-gesa dalam berhadapan dengan prospek sehingga menimbulkan suasana yang tidak harmoni. Gunakanlah metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam berdakwah. Tugas kita hanya menyampaikan, bukannya memberi hidayah.
Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT, yang akan diberi kepada mereka yang dikehendaki oleh-Nya sebagaimana firman-Nya dalam ayat 159 surah ali-'Imran.
(Dipetik dari Utusan Malaysia 07.04.2010: Bicara Agama oleh Wan Jemizan Wan Deraman)

Mardiyah:019-2853910:mardiyah79@gmail.com

No comments:

Featured Post

kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye

Salam, kalau sesapa nak quotation boleh bagi details ye. Takaful bukanlah jaminan kesihatan, tapi mengelakkan kita mnggunakan simpanan untu...